Sunday, 1 December 2013

Salah Satu Audio Lagu yang Terdapat dalam Pesembahan Teater Tradisional Randai DATOK MOYANG SALEH bertajuk 'Simarantang' oleh Aine Yusof






Moyang Saleh Ceritonyo
Lagenda dari adat patih
Utusan Johor Datok Bendaharo
Pinanglah Si cantik Manih

Sri lah Banun namo dibori
Datoklah Rembau baponyo pulo
Apokan dayo hajat tak sampai
Sri lah Banun tunangan orang


Sinopsis 'RANDAI DATOK MOYANG SALEH



Randai Datok Moyang Saleh menceritakan tentang sejarah penubuhan Negeri Sembilan. Sebelum Negeri Sembilan ditubuhkan, negeri ini bernaung dibawah tampuk pemerintahan Kerajaan Melayu Johor. Pada ketika itu, raja yang bertakhta adalah Sultan Abd Jalil. Sultan ini terkenal dengan sikapnya yang suka memberi titah dan menjatuhkan hukuman tanpa usul periksa. Perkara ini terjadi semasa Datok Rembau (Ketua Daerah Rembau, Tanah Datar) menolak peminangan Sultan yang diwakili oleh Datok Bendahara, terhadap anak perempuannya, Sri Banun kerana sudah menjadi tunangan orang. Oleh hal yang demikian, Datok Rembau telah menghantar anak lelakinya, Mamat pergi ke Negeri Johor untuk mengadap Sultan bagi menjernihkan keadaan. Sultan Abd Jalil murka kerana Mamat, abang Sri Banun dilihat sebagai rakyatnya yang menderhaka lalu menjatuhkan hukuman bunuh terhadap beliau. Berita kematian Mamat menyebabkan Datok Moyang Saleh, yang merupakan salah seorang pembesar di Tanah Datar (kini dikenali sebagai Negeri Sembilan) tampil untuk membela maruah bangsanya yang telah diperkotak-katikkan oleh Sultan Johor. Beliau pergi ke Negeri Johor bersama rakan-rakan segurunya, Datok Gagah Lela Perkasa, Datok Beruang Hitam, Datok Laut Api dan Datok Bauk untuk menuntut bela. Pada mulanya, kedatangan mereka berlima tidak diterima baik oleh penghuni Istana Negeri Johor tetapi berkat ilmu yang dipelajari, mereka berjaya menakut-nakutkan isi istana dengan kuasa magis yang dimiliki masing-masing. Akhirnya Sultan berkenan menghadap mereka berlima dan memutuskan pertalian antara Kerajaan Johor dengan Tanah Datar. Justeru itu, Tanah Datar diisytiharkan sebagai sebuah negeri yang memerintah sendiri. Sebagai kenang-kenangan, Tanah Datar yang pernah bernaung dibawah kerajaan Johor, Datok Moyang Saleh telah membelah sebuah tempayan dan bersumpah selagi ianya terbelah dua, selagi itu hubungan antara Tanah Datar dengan kerajaan Johor terputus.


*Adaptasi Legenda Negeri Perpatih (Pemutus Tali Ke Johor), karya asal, Wangiman NS. Olahan semula, Anggun Ibrahim.


Sunday, 27 October 2013

Teater Tradisional Randai "Datok Moyang Saleh' (2013)

Sekali lagi Aswara akan muncul dengan sebuah persembahan randai bertajuk Datok Moyang Saleh yang menceritakan sejarah penubuhan Negeri Sembilan. Saksikan persembahannya. Tarikh dan waktu akan dimaklumkan kemudian.


Tradisional Randai dan Aswara




Randai merupakan sebuah persembahan tradisi bagi masyarakat minang  yang merangkumi aspek gerak silat, muzik dan dendang. Kemudian, ianya berkembang menjadi sebuah bentuk persembahan teater yang lengkap merangkumi aspek tarian (gerak silat), nyanyian, muzik, dan lakonan. Tradisi Randai ini  berasal dari dari Kota Padang, Sumatra Barat, Indonesia, seterusnya, menular  ke semenanjung Malaysia (yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai Tanah Melayu), terutamanya di Negeri Sembilan. Kini, Randai menjadi salah sebuah matapelajaran wajib bagi penuntut Ijazah Sarjana Muda di institusi seni seperti Akedemi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Pembelajaran Tradisi Randai ini memperlihatkan perkembangan  positif sekitar tahun 2008 apabila pejajar-pelajar Ijazah Sarjana Muda kumpulan pertama diberi kepercayaan untuk mempersembahkan persembahan teater tradisional Randai bertajuk ‘Anggun Bainai Jo Sutan Nagari’. Seterusnya, Randai ‘Lareh Simawang Jo Diri Siti Jamilah’ pada tahun 2009.




Diikuti Randai ‘Sijundai’ (2010) dan Randai ‘Antaro Labo Dongan Yang Hak’ (2011).