Sunday, 1 December 2013

Sinopsis 'RANDAI DATOK MOYANG SALEH



Randai Datok Moyang Saleh menceritakan tentang sejarah penubuhan Negeri Sembilan. Sebelum Negeri Sembilan ditubuhkan, negeri ini bernaung dibawah tampuk pemerintahan Kerajaan Melayu Johor. Pada ketika itu, raja yang bertakhta adalah Sultan Abd Jalil. Sultan ini terkenal dengan sikapnya yang suka memberi titah dan menjatuhkan hukuman tanpa usul periksa. Perkara ini terjadi semasa Datok Rembau (Ketua Daerah Rembau, Tanah Datar) menolak peminangan Sultan yang diwakili oleh Datok Bendahara, terhadap anak perempuannya, Sri Banun kerana sudah menjadi tunangan orang. Oleh hal yang demikian, Datok Rembau telah menghantar anak lelakinya, Mamat pergi ke Negeri Johor untuk mengadap Sultan bagi menjernihkan keadaan. Sultan Abd Jalil murka kerana Mamat, abang Sri Banun dilihat sebagai rakyatnya yang menderhaka lalu menjatuhkan hukuman bunuh terhadap beliau. Berita kematian Mamat menyebabkan Datok Moyang Saleh, yang merupakan salah seorang pembesar di Tanah Datar (kini dikenali sebagai Negeri Sembilan) tampil untuk membela maruah bangsanya yang telah diperkotak-katikkan oleh Sultan Johor. Beliau pergi ke Negeri Johor bersama rakan-rakan segurunya, Datok Gagah Lela Perkasa, Datok Beruang Hitam, Datok Laut Api dan Datok Bauk untuk menuntut bela. Pada mulanya, kedatangan mereka berlima tidak diterima baik oleh penghuni Istana Negeri Johor tetapi berkat ilmu yang dipelajari, mereka berjaya menakut-nakutkan isi istana dengan kuasa magis yang dimiliki masing-masing. Akhirnya Sultan berkenan menghadap mereka berlima dan memutuskan pertalian antara Kerajaan Johor dengan Tanah Datar. Justeru itu, Tanah Datar diisytiharkan sebagai sebuah negeri yang memerintah sendiri. Sebagai kenang-kenangan, Tanah Datar yang pernah bernaung dibawah kerajaan Johor, Datok Moyang Saleh telah membelah sebuah tempayan dan bersumpah selagi ianya terbelah dua, selagi itu hubungan antara Tanah Datar dengan kerajaan Johor terputus.


*Adaptasi Legenda Negeri Perpatih (Pemutus Tali Ke Johor), karya asal, Wangiman NS. Olahan semula, Anggun Ibrahim.


No comments:

Post a Comment